Pages

Wednesday, July 13, 2011

Remaja oh remaja.

Remaja pada umumnya merujuk kepada golongan manusia yang berumur 12-21 tahun atau 13 hingga 25 tahun. Perkataan 'remaja' berasal daripada perkataan Latin bermakna menuju ke arah kematangan. golongan ini sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba dan sedang menuju ke tahap untuk menjadi dewasa. Dari sudut perkembangan manusia, remaja merujuk kepada satu peringkat perkembangan manusia, iaitu peringkat transisi antara peringkat kanak-kanak dan peringkat dewasa.
Semasa seseorang itu mengalami zaman remaja dia akan mengalami pelbagai perubahan yang drastik, termasuklah perubahan jasmani, sosial, emosi, dan bahasa. Akibat daripada itu, orang remaja merupakan orang yang emosinya tidak stabil, dan sentiasa "bermasalah". (wikipedia)

Benarkah remaja sentiasa bermasalah? Inilah persoalan yang harus kita perbincangkan bersama. Senario ini tidak lain tidak bukan bertitik tolak dari isu yang berlaku saban hari yang sering dilibatkan dengan remaja. Gejala lepak, lumba haram, bohsia, bohjan, dadah dan sebagainya. Tidak bermaksud untuk menghukum golongan remaja itu kerana ada juga remaja yang sungguh tinggi nilai etikanya. Kenapa pihak kerajaan terlalu mengambil berat isu ini? Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah kerajaan begitu sayang kepada golongan remaja ini. Umpama sebuah keluarga, ibu bapa mana yang tak sayangkan anaknya? Golongan remaja adalah bakal pemimpin akan datang dan oleh sebab itu pendidikan yang cukup sempurna harus dititik beratkan mulai dari sekarang. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Tanggungjawab siapa untuk mendidik? Adakah cukup dengan pendidikan di sekolah atau IPT? Istilah pendidikan tidak hanya terhad di sekolah mahupun IPT sahaja kerana pendidikan boleh secara formal ataupun informal. Apa yang penting kualiti pendidikan itu sendiri perlu menyumbang ke arah melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek akademik mahupun sahsiah diri. Politeknik juga turut melalui transformasi dalam pendidikannya dengan memperkenalkan "Outcome Based Education" atau OBE. Pendidikan pada masa sekarang tidak lagi berasaskan "lecture centered" tetapi "student centered". Dipendekkan cerita, pendidikan bukan setakat untuk memudahkan pelajar menjawab soalan peperiksaan tetapi lebih dari itu.

Berbalik kepada isu masalah remaja tadi, remaja diibaratkan "kain span" yang mana ia mudah menyerap apa sahaja budaya yang diterima mereka tanpa menyaring terlebih dahulu adakah ianya baik atau sebaliknya. Sikap terlalu ingin mencuba akhirnya akan membawa padah kepada remaja itu sendiri. Juga tidak dinafikan, remaja adalah zaman paling egoistik kerana masing-masing cuba untuk menonjolkan kehebatan masing-masing.

Oleh itu, kepada para remaja semua, remaja bukanlah masa untuk berhibur dengan melampai batas kerana dari remajalah akan membentuk arah ke mana anda ingin pergi. Sebelum melakukan sesuatu, berfikirlah dengan bijak. Fikir,fikir dan fikir.


- Posted using BlogPress from my iPad

No comments: